Tuesday, 17 April 2012


Islam adalah agama yang mementingkan persaudaraan kerana ia menjadi pemangkin ke arah kekuatan, kejayaan dan kecemerlangan. Antara ciri persaudaraan ialah saling membela, yakni membantu dan mempertahankan hak orang Islam lain.






Orang Islam yang tidak mempedulikan nasib saudaranya yang lain dianggap sebagai tidak sempurna imannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Prinsip persaudaraan yang kukuh semata-mata kerana patuh kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah faktor kepada kegemilangan umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan empayar Islam selepas itu. Malangnya, sikap membela sesama umat Islam kini di lihat semakin lemah. Faktor ini menjadi punca mengapa umat Islam dalam keadaan lemah dan menjadi mangsa kekejaman musuh Islam. Umat Islam dilihat lebih suka menyokong atau berdamping dengan kuasa bukan Islam semata-mata untuk kepentingan diri.


Muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya dihina dan disiksa. Penderitaan ditanggung saudara muslim diibaratkan turut ditanggung oleh dirinya. Maka, muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya menghadapi bahaya sendirian melainkan wajib baginya membela mengikut kemampuannya.


Pihak yang memerangi muslim wajib diperangi atau ditentang. Islam membenarkan tindakan berperang untuk melindungi keselamatan dan hak. Musuh muslim adalah juga menjadi musuh kepada seluruh muslim lain.





Ironinya, ada muslim yang berikrar akan melindungi musuh nyata yang sekian lama bertindak kejam terhadap umat Islam seperti kekejaman rejim Zionis Israel terhadap umat Islam Palestin. Individu yang berada di pihak musuh muslim, maka dia juga adalah sebahagian daripada musuh seluruh muslim yang mesti ditentang. Ini kerana, Islam menyuruh menolong ke arah kebaikan, bukan mendatangkan keburukan.


Firman Allah bermaksud: “Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” (Surah al-Maidah, ayat 3).


Soalnya, mengapa ada orang Islam termasuk yang bergelar pemimpin sanggup menyokong musuh Islam? Perkara ini tidak harus berlaku jika umat Islam memahami ajaran Islam. Jangan gadaikan maruah dan kepentingan Islam semata-mata untuk mendapat sedikit pertolongan daripada musuh untuk kepentingan peribadi.


Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan itu sudah tentu satu jerat yang akan membinasakan diri sendiri dan agama. Persaudaraan muslim tidak dibatasi bangsa dan sempadan geografi. Maka, setiap muslim perlu membantu muslim lain walaupun berlainan bangsa dan berada jauh di negara lain.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan.” (Surah al-Hujrat, ayat 13).


Setiap muslim perlu menunjukkan kesungguhan untuk membantu muslim lain yang ditimpa bencana atau dizalimi. Apa yang dilakukan itu tidak sia-sia dan mendapat balasan kebaikan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan adalah jalan yang membawa kepada dimurahkan rezeki.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kalian hanya akan dibantu dan diberikan rezeki oleh Allah jika kalian semua membela orang yang lemah.” (Riwayat Bukhari)


Ingatlah, kekuatan muslim tidak hanya melalui kelompok atau kumpulan tertentu saja. Kekuatan muslim perlu dibina secara keseluruhan kerana ia saling memperkuatkan antara satu sama lain.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seumpama sebuah binaan yang terdiri daripada bahan binaan yang saling sokong menyokong, lengkap melengkapi antara satu sama lain hingga terciptanya sebuah binaan yang tersergam kukuh.” (Riwayat Bukhari).


Sumber

0 comments: