FATWA TENTANG 'APRIL FOOL'
Assalamualaikum kepada rakan-rakan sekalian.
fatwa tentang 'April Fool'
Oleh : Syaikh Muhammad Ibnu Soleh Ibnu Uthaimin رحمه الله
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
Soalan : Adakah boleh berbohong dalam keadaan bergurau.
Jawapan Syaikh: Berbohong tidak dibenarkan sama ada bergurau atau serius kerana ia merupakan akhlak yang dicela yang mana tidak bersifat dengan sifat ini melainkan munafiq. Amat menyedihkan apabila kita banyak mendengar sebahagian manusia membahagikan perbohongan kepada 2 bahagian: ‘bohong putih’ dan ‘bohong hitam’. Apabila timbulnya mudhorat seperti memakan harta atau sikap melampaui batas atau yang seumpamaannya maka menurut mereka itu adalah bohong hitam. Apabila tidak ada unsur-unsur seperti itu maka ia adalah bohong putih.Ini adalah pembahagian yang batil. Bohong semuanya hitam.Namun ia bertambah hitam setiap kali ia mendatangkan mudhorat yang lebih besar.
Sempena topik ini saya ingin mengingatkan saudara saya umat Islam agar menghindarkan diri daripada apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia yang tidak cerdik dengan apa yang dipanggil ‘April Fool’ yang saya rasa tidak lama lagi. Pembohongan seperti ini yang diambil daripada orang yahudi, nasrani,majusi dan orang kuffar. Kemudian disamping ianya adalah dusta dan pendustaan adalah haram menurut syara’, ianya perbuatan yang menyerupai orang bukan Islam. Menyerupai bukan Islam adalah haram. Baginda telah bersabda:
من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya : “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian daripada mereka”. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah: Sanadnya Jayyid.
Kedudukan yang paling minima adalah haram walaupun zahirnya membawa erti kekufuran orang yang menyerupai mereka (golongan kuffar).Pembohongan (April Fool) ini disamping ianya mengandungi 2 larangan tersebut, ia juga menjatuhkan martabat seorang muslim di hadapan musuhnya. Ini kerana sudah sedia maklum pada tabiat kejadian manusia, orang yang ditiru perbuatannya akan berbangga ke atas orang yang meniru dan dia merasakan bahawa dirinya lebih kehadapan daripada orang yang meniru perbuatannya oleh kerana si peniru menjadi lemah sehingga sanggup menjadi orang yang meniru. Oleh itu pembohongan dalam april fool ini merupakan penghinaan terhadap orang mukmin kerana dia menjadi rendah diri dan mengikut orang-orang kuffar.
Larangan yang keempat: kebanyakan daripada pembohongan ini adalah jijik , mengandungi perbuatan memakan harta secara batil atau menakutkan muslim yang lain. Barangkali dia berbohong mengatakan kepada orang lain: akan datang tetamu hari ini. Lalu orang tadi memasak makanan yang banyak, lauk daging dan seumpamanya. Barangkali juga dia bergurau dengan perkara yang menakutkan orang lain seperti katanya: penjaga kamu dilanggar kereta dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan walaupun bukan pada situasi ini. Hendaklah seorang muslim bertaqwa kepada Allah, berbangga dengan agamanya dan memandang tinggi terhadap agamanya supaya musuh umat Islam gerun kepadanya dan menghormatinya. Saya jamin buat setiap orang yang mempunyai perasaan bangga dengan agamanya dia akan menjadi mulia di hadapan manusia. Sesiapa yang merasa rendah diri di hadapan musuhnya dia akan menjadi orang yang paling hina di hadapan manusia, di sisi Allah dan di sisi musuh-musuhnya. Janganlah kamu menyangka -wahai muslim- perbuatan kamu meniru orang-orang kuffar dan mengikut perangai mereka akan menjadikan kamu mulia pada pandangan mereka. Bahkan ia merupakan kemuncak kehinaan. Kamu mengetahui tentang ini. Kalaulah seseorang mencontohi perbuatan kamu maka kamu akan merasakan kebanggaan buat diri kamu berbanding orang tersebut. Kamu akan merasakan dia lebih rendah di hadapan kamu kerana perbuatannya meniru-niru diri kamu. Perkara ini sudah diketahui dan dimaklumi berdasarkan tabiat manusia. Setiap kali musuh kita melihat kita kuat dan merasa mulia dengan agama kita, tidak mempedulikan mereka, tidak bergaul dengan mereka melainkan berdasarkan tunjuk ajar syara’ yang merupakan syari’at untuk sekian alam selepas kebangkitan Muhammad :
قل يأيها الناس انى رسول الله اليكم جميعا
“katakanlah : wahai sekalian manusia sesungguhnya aku merupakan rasul Allah kepada kamu semua”-maksud ayat.
Telah sohih daripada Nabi saw baginda berkata:
والذى نفسي بيده لا يسمع بي يهودي ولا نصراني ثم لا يؤمن بما جئت به الا كان من أهل النار
“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, tidaklah seorang yahudi atau nasrani mendengar tentang diriku kemudian dia tidak beriman dengan agama yang aku bawa melainkan dia akan menjadi ahli neraka”
Kalaulah ini keadaan ahli kitab maka bagaimana dengan orang-orang kuffar yang lain? Setiap yang mendengar tentang Muhammad dan tidak mengikutnya maka dia merupakan ahli neraka. Kalaulah keadaanya seperti ini kenapakah kita orang-orang Islam merendahkan diri kita dan mengikut orang lain? Kita semua mengetahui dialog yang terjadi antara hercules maharaja rom dengan abu sufian yang kafir (sebelum dia memeluk Islam). Ketika mana abu sufian mengelak untuk berdusta tentang Nabi Muhammad kerana bimbang akan dipersoalkan tentang pendustaannya sedangkan dia ingin berdusta untuk menjatuhkan Nabi. Kalaulah orang kafir seperti ini keadaannya maka mengapakah kamu wahai orang mukmin boleh berdusta.
0 comments:
Post a Comment