Saturday, 23 March 2013


“sepanjang 5 semester ana jadi ALT,  2 semester ana dapat satu subjek C”
“tu la, aktif sangat sampai tak tidur malam”


Konsep persatuan mengikut kertas sangat menguntungkan seseorang. Kemahiran insaniah, pengalaman, kepimpinan, berinteraksi dengan orang lain. Namun itu semua berdasarkan pendapat mereka yang sangat mencintai persatuan, namun bagaimana pula dengan hakikat sebenar dan apa pula kata mereka yang anti persatuan?

Gadaikan Akademik?

Inilah teori popular di kalangan pelajar apabila ditanya mengapa tidak berminat dengan persatuan. Teori itu semakin terbukti benar apabila dipraktikan pula oleh sebilangan orang dalam persatuan sendiri. Mana tidaknya, siang hari sibuk dengan urusan belajar, malam mesyuarat sampai larut, kemudian menerima dan membuat panggilan mengalahkan wakil rakyat, dan keadaan semakin teruk apabila terbawa-bawa ke dalam kelas.

Jika melibatkan pihak atasan terpaksa ponteng kelas namun diringankan atas istilah ‘urusan kerja’. Lebih parah lagi jikalau seseorang itu memegang terlampau banyak jawatan. LA pun dia QOLIBUS pun dia DIMAC pun muka dia. Maka, dirinya akan diperhati oleh orang yang anti-persatuan untuk melengkapkan statistik mereka agar teori mangsa persatuan akan diiktiraf oleh pelajar lain.

 Tiket Sosial.

Ini juga satu perkara yang menarik. Berpersatuan dianggap peluang untuk berkenal-kenalan dengan akhawat dalam suasana masyarakat di sini yang dikatakan ‘shadid’. 

Sedar tak sedar, cemburulah orang di luar persatuan. Mereka pun hendak berkenalan dengan kaum berlainan jantina namun agak terbatas disebabkan tiada urusan. Maka, urusan persatuan itulah yang dikatakan tiket untuk bersosial berlainan jantina.

Membazir atau menyumbang?

Ini pun antara teori yang menarik untuk menghentam persatuan dan ahlinya. Kisah ini bermula apabila orang yang berpersatuan ingin meminjam duit dari mereka yang anti- persatuan, namun terus dihentamnya.

"tu la kau, mak ayah bagi duit untuk belajar, nape guna untuk orang lain?".

Mana tidaknya, hendak sediakan minit mesyuarat, surat jemputan, kertas kerja, tambang, makanan, kredit semuanya terpaksa didahulukan dengan duit sendiri. Bagi orang yang berjiwa persatuan ini, terasa tidak sanggup untuk menuntutnya daripada bendahari.

Kebaikan yang dibisukan.

Tidak dapat dipastikan samada mereka yang anti dengan persatuan itu apakah kehendak mereka. Samada secara peribadi ataupun memang satu kajian yang telah diadakan bersungguh-sungguh demi membuktikan persatuan itu membawa masalah. Ataupun mereka ingin mewujudkan sebuah persatuan alternatif mereka sendiri.

Sekiranya dinilai, ada benar juga teori mereka walaupun ada yang tidak tepat. Namun, mengapakah kebaikan itu dibisukan dan mengapakah keburukan itu dilaung-laungkan, mengapa tidak ‘ditaslih’ kan sahaja kekurangan tersebut dengan penyertaan mereka? Akhirnya fahamlah saya, kita sebenarnya berhadapan dengan makhluk yang silap sekiranya ingin kebaikan kita disebut atau dihargai.

Terima kasih bagi yang memahami.

Namun, janganlah pula lupa dibelakang kita masih ramai lagi rakan-rakan yang memahami akan hakikat perjuangan ini. Masih ramai yang menghargai. Mereka sering berdiri teguh dan kadang-kadang melemparkan kritikan. Namun, kritikan tersebut lebih bermakna apabila mereka sendiri yang membaikinya agar kelihatan lebih cantik.

Orang-orang sebeginilah yang amat diperlukan tidak kira di sini ataupun apabila pulang nanti. Tidak kiralah walaupun hanya sekadar AJK kecil ataupun sebesar-besar pemimpin kita bukan melakukan sesuatu yang sia-sia, namun untuk mendapatkan sesuatu, kadang-kadang kita terpaksa berkorban atau kita kehilangan sesuatu. Pimpinan akan silih berganti, dasar juga akan sentiasa berubah. cuma matlamat sahaja yang akan tetap centric.


Artikel ditulis oleh:-
Norhafizah Basri, tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia.
Bekas Exco ICT QOLIBUS 2011/2012.
S/U Lawatan Antarabangsa TAA1 2012/13.
S/U QOLIBUS 2012/2014.
S/U DIMAC 2013/14,
BBN, N9.

0 comments: